APABILA DAP LEBIH YAKIN PADA AMANAH

*Kenapa DAP Selesa Berkerjasama Dengan Amanah: Penjelasan Seorang Pimpinan DAP, YB Liew Chin Tong*

Ada yang beranggapan bahawa DAP selesa berkerjasama dengan AMANAH kerana DAP ‘menguasai’ AMANAH dan AMANAH sekadar ikut sahaja kehendak DAP. Tanggapan sebegini ditanam oleh mereka yang memusuhi bukan sahaja AMANAH tetapi juga DAP. Ia menggambarkan AMANAH sebagai parti yang tidak berprinsip dan DAP pula sebagai parti yang bersifat ‘manipulative’ suka memperalatkan pihak lain. Dalam soal ini kita saksikan UMNO dan PAS berganding bahu menanam anggapan atau persepsi sebegini. Ia bertujuan untuk meminggirkan DAP dan AMANAH dari masyarakat Melayu khususnya.

Saya ingin menjelaskan sebab-sebab utama mengapa DAP selesa berkerjasama dengan AMANAH. Saya yakin apabila ini dijelaskan, lojik sebab mengapa kami selesa berkerjasama dengan AMANAH serta kesesuaian hubungan kami akan difahami semua. Ianya bukan sukar untuk difahami kerana ianya bukan atas pertimbangan politik atau startegi semata-mata. Sebaliknya ianya atas perkiraan sikap perhubungan antara parti dan antara manusia yang begitu asasi.

*Sikap AMANAH bila berbincang*

Bila saya bersama pimpinan AMANAH, saya tidak merasa diri saya sebagai seorang asing dan dipandang serung. Mereka mempunyai sikap keterbukaan yang jelas ikhlas ingin bersahabat dan bersaudara dengan semua yang bersedia bersama mereka. Saya tidak merasa yang dikatakan kepada saya berlapik-lapik sehingga menyebabkan saya sangsi terhadap kata-kata tersebut. Saya tidak merasakan apa yang dikatakan kepada saya berbeza berbanding apa yang dikatakan sesama mereka.

Cara mereka dan akhlak mereka menyebabkan saya yakin perbincangan kami ikhlas dan terbuka. Saya boleh berikan pandangan walaupun berbeza dan saya tidak ditempelak dengan kata-kata seperti “kamu tak faham, kamu bukan orang Islam”. Sebaliknya mereka berusaha menjelaskan pandangan mereka secara rasional dan intelektual dalam bahasa dan nilai-nilai yang mudah saya fahami.

Dan walaupun kami terus berbeza pandangan, selepas itu kami tetap bersahabat.

Keadaan sebegini amat penting apabila ingin berkawan apatah lagi menjadi rakan dalam mendukung perjuangan bersama. Saya rasa begitu selesa berbincang ‘hati ke hati’ dengan mereka sambil diri saya tidak dilihat sebagai seorang yang ‘jahat’ atau ‘berniat jahat’. Bila kesangsian sebegitu tidak wujud, saya selesa mengatakan apa yang saya ingin katakan dan begitu juga mereka.

*Kejujuran dan berpegang pada janji*

Setelah membahaskan sesuatu dan akhirnya membuat keputusan, saya melihat pimpinan AMANAH jujur dalam usaha mereka melaksanakan keputusan itu. Mereka berpegang kepada janji dan tidak melanggar apa yang dipersetujui bersama. Saya merasa yakin apa yang dipersetujui dan dijanjikan akan tetap mereka pegang bukan sepertimana yang dilakukan oleh pimpinan parti lama mereka. Mereka tidak bersikap ‘kami orang Islam, bakal masuk syurga. Oleh itu langgar perjanjian demi Islam tidak mengapa’. Oleh itu amat selesa saya berkerjasama dengan mereka.

Mereka pernah sebut pada saya bahawa sifat bercakap benar (sidiq) dan berpegang pada janji (amanah) adalah sifat yang masyhur bagi Nabi mereka ia itu Nabi Muhammad dan beliau dikenali dengan sifat-sifat ini walaupun sebelum menjadi nabi. Ianya sememangnya sifat-sifat terpuji dan itulah sifat-sifat yang mereka dakwa mereka ingin zahirkan. Sekiranya benar, dan setakat ini saya lihat ianya benar, maka itulah pegangan yang paling tepat bagi kita semua.

*Tegas dalam berprinsip*

Apabila parti lama mereka mengkhianati perjanjian, saya tahu mereka telah membantah dan menegur pemimpin mereka. Ini menyebabkan saya percaya kepada keikhlasan mereka. Apabila mereka meninggalkan parti lama mereka yang telah mereka bina bersama sekian lama, atas prinsip tidak bersetuju dengan pendekatan ‘semakin Melayu’ demi menjaga imej perjuangan Islamis mereka, saya bertambah yakin dengan keikhlasan mereka. Mereka bukan calang-calang orang yang sekadar mampu menjadi pengikut setia, menumpang populariti orang-orang tertentu, tetapi mereka pemimpin yang berwawasan dan berprinsip.

Orang-orang seperti ini lebih mudah kami berkerjasama dengan mereka. Tiada u-turn dan tiada pengkhianatan. Berpegang kepada prinsip dan bukan main ikut sahaja apa jua arahan yang diberikan walaupun melanggar janji. Orang sebegini yang saya ingin jadikan rakan dalam berpakat, bukan jenis bertukar sikap setiap kali arus berubah.

*Kesungguhan membawa mesej ‘political Islam’*

Saya menganggap tuduhan ‘khianat agama’ atau ‘menjual agama’ yang dilemparkan terhadap mereka jauh dari kebenaran. Sebaliknya saya melihat mereka berusaha untuk menghayati ajaran agama mereka, samada dalam soal peribadi mahupun dalam perjuangan politik mereka. Sefaham saya mereka tubuhkan AMANAH untuk tujuan itu apabila diyakini parti lama mereka tidak lagi mampu membawa mesej ‘political Islam’ secara tepat atau berkesan.

Ada yang memberitahu saya, perjuangan yang mampu mempengaruhi masyarakat Melayu hanya dua, iaitu kebangsaan Melayu atau Islam. Kedua-duanya ada nilai emotifnya. Dahulu ‘political Islam’ bawaan PAS menjadi check and balance terhadap politik kebangsaan Melayu. Sekarang dengan sikap terbaharu PAS, mereka bersekongkol bersama atas rasuah dan perkauman. Oleh itu, untuk membersihkan imej ‘political Islam’ ini maka AMANAH ditubuhkan.

Saya melihat usaha mereka cukup penting untuk mencorakkan minda Melayu Islam ke arah kebaikan dan kemajuan. Wawasan yang ada pada mereka jauh lebih ke depan dan progressif berbanding PAS. Saya tidak tahu PAS sudah ingin ke mana.

*Kesimpulan*

Sebenarnya saya bukan inginkan yang luar biasa dari rakan-rakan saya. Saya hanya inginkan kejujuran dalam berpakat, berpegang kepada janji dan keikhlasan dalam berbicara. Bagi saya pemimpin-pemimpin AMANAH merupakan harapan masa depan bangsa Melayu dan ummat Islam. Ikhlas, jujur, sanggup berkorban dan kuat berkerja. Sambil itu mempunyai wawasan yang jelas dan bersifat ‘untuk kebaikan semua’.

*YB Liew Chin Tong*
Ahli Parlimen Kluang (DAP)
Artikel ini telah diterbitkan di dalam Akhbar Amanah edisi-12

KENAPA ANAK MUDA MAKIN BOSAN DENGAN POLITIK? OLEH ARUL PSM

Antara parti perkauman dan realpolitik:
Kenapa anak muda semakin bosan untuk menyertai parti politik?

oleh Arutchelvan PSM

Pada 9 Ogos yang lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti baru dan mengumumkan nama parti baru adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang terbuka kepada “semua warganegara”. Muhyiddin, mantan Timbalan Presiden UMNO yang telah disingkirkan mengumumkan bahawa "keahlian BERSATU adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berstatus pribumi Melayu termasuk Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak, seperti yang ditakrifkan di dalam perlembagaan Malaysia, perlembagaan negeri dan undang-undang negara”.

Namun, diketahui umum bahawa orang yang menarik tali di belakang Muhyiddin adalah Mahathir Mohamad. Muhyiddin tidak mempunyai sejarah berjuang menentang status quo. Beliau naik dalam politik kerana peranannya bermain politik selamat dan “yes man”. Beliau tidak mempunyai keberanian seperti Anwar Ibrahim yang mencetuskan gerakan Reformasi mahupun mempunyai karisma seperti Musa Hitam yang dilihat sebagai seorang Timbalan Presiden UMNO yang berwibawa. Malah beliau juga tidak mempunyai sejarah melawan kepimpinan seperti Timbalan Presiden UMNO sekarang, iaitu Zahid Hamidi.

Walaupun Mahathir tidak memegang jawatan utama, tetapi diketahui umum bahawa beliaulah ikon parti ini. Mahathir yang mempunyai sejarah melawan Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn semasa mereka menjadi Presiden, dan kemudiannya melawan Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim  kerana cubaan mereka mengulingkan beliau, lepas itu menyambung perlawanan menentang Abdullah Badawi dan kini pula mensasarkan Perdana Menteri Najib Razak. Jika diperhatikan betul-betul, politik Malaysia akan menjadi bosan dan lesu jika tidak ada Mahathir. Mahathir menjadi watak utama untuk 6 dekad dari 1960-an sehingga hari ini.

Tujuan utama parti Mahathir ini adalah untuk menentang Presiden UMNO sekarang Najib Razak. Tanpa menyembunyikan niatnya, Parti Bersatu mengumumkan tujuan mereka adalah untuk menewaskan UMNO dalam pilihanraya umum yang akan datang dan parti ini juga akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan serta PAS untuk menewaskan dan menjatuhkan UMNO-BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Penubuhan parti baru ini seperti keseinambungan daripada Gerakan Selamatkan Malaysia yang menggunakan pentas Deklarasi Rakyat dan bekerjasama dengan parti pembangkang serta beberapa pertubuhan masyarakat sivil. Namun, inisiatif untuk mendapat jutaan tandatangan dan menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agung ini seperti tidak membuahkan hasil.

Walau bagaimanapun, pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang membongkarkan kepincangan 1MDB dan peranan yang dimainkan oleh orang-orang yang rapat dengan Najib, termasuk anak tirinya, memberi nafas baru kepada perjuangan Mahathir dan penentang Najib. Najib dan puak-puak yang rapat dengannya secara cepat cuba memberikan gambaran bahawa ini adalah konspirasi antarabangsa dan terdapatnya campurtangan luar untuk menjatuhkan kerajaan demokratik yang dipimpin oleh Najib Razak. Malah, ada pemimpim UMNO yang menyifatkan ini sebagai satu cubaan Amerika Syarikat untuk menggulingkan Kerajaan Islam selepas Saddam Hussein dijatuhkan dengan cara yang sama di Iraq.  

Penubuhan parti baru ini mendapat dua jenis reaksi awal. Satu adalah pandangan yang mengutuk parti ini sebagai parti perkauman. Muhyiddin Yassin menyangkal pandangan sebegini dengan menerangkan konsep parti ini. Beliau berkata, “keahlian BERSATU adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia berstatus pribumi Melayu termasuk Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang ditakrifkan di dalam perlembagaan Malaysia, perlembagaan negeri dan undang-undang negara. Selain itu, keahlian parti terbuka kepada warganegara Malaysia yang lain sebagai ahli bersekutu. Mereka mempunyai hak yang sama dengan ahli biasa kecuali mengundi atau bertanding mana-mana jawatan dalam parti.”

Ini telah mendapat kecaman kerana ia kembali kepada politik Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Ia juga memberi gambaran bahawa orang Bukan Bumiputera boleh sertai tetapi tidak boleh memimpin atau memegang jawatan. Ini satu penghinaan kepada konsep Malaysia dan perpaduan kaum yang cuba dipupuk selama ini.

Namun, terdapat satu lagi kumpulan yang berkata bahawa, secara “realpolitik” tindakan Mahathir adalah betul dan tepat sekali kerana tujuan parti ini hanyalah untuk menewaskan UMNO dan mengurangkan sokongan UMNO, malah cara terbaik adalah menwujudkan satu parti Melayu untuk memecahkan undi Melayu dan sekaligus menewaskan UMNO-BN.

Penghujah “realpolitik” (politik benar) tidak berlandaskan kepada prinsip atau dasar perjuangan yang betul. Bagi mereka, politik adalah seni merampas kuasa dengan apa jua cara pun. Mahathir pernah digelar Machiavelli dan beliau akan membuat apa sahaja untuk mencapai agenda politiknya.

Namun, ada satu lagi golongan besar yang semakin hari semakin bosan dengan parti-parti politik ini. Sindrom semakin bosan dan tidak percaya kepada parti politik berlaku di seluruh dunia. Ramai rakyat terutamanya golongan anak muda semakin tidak percaya pada parti politik masa kini. Mereka melihat parti politik semuanya kaki penipu dan hanya untuk rampas kuasa demi kepentingan sendiri.

Bagi golongan ini, realpolitik adalah apabila politik itu dapat membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan penindasan. Terbukti politik yang dibawa oleh Parti Bersatu dan juga parti pembangkang hari ini lebih menjurus kepada agenda sempit untuk merampas kuasa supaya mereka boleh mendapat akses kepada khazanah negara dan sebagainya.

Justeru, parti-parti berhaluan kiri di dunia dan juga ahli politik yang sebelum ini tidak mendapat banyak sokongan kini menjadi wira kepada anak-anak muda. Jeremy Corbny di Britain dan Bernie Sanders daripada Parti Demokrat di Amerika Syarikat mendapat sokongan ramai anak muda dan rakyat biasa. Pandangan-pandangan mereka yang menentang sistem kapitalis neo-liberal yang sebelum ini kurang mendapat sokongan kini mendapat sokongan ramai kerana dalam jangkamasa panjang, rakyat dapat menilai apakah itu realpolitik. Mereka tahu apa yang dilafazkan oleh pemimpim-pemimpin berhaluan kiri adalah konsisten dan benar.

Di Malaysia, rakyat sudah bosan dengan parti Barisan Nasional dan juga semakin hari semakin bosan dengan parti Pakatan Harapan. Walaupun ramai yang ketagihan untuk pembangkang menang sekali dalam pilihanraya Parlimen, tetapi tingkahlaku pembangkang yang sering bergaduh, bermain politik sempit dan perkauman turut menyebabkan sebahagian rakyat menjadi bosan dan mencari alternatif baru.

Parti baru Mahathir sebenarnya adalah parti politik lama. Mahathir yang berusia 92 tahun terus menjadi watak yang paling aktif pada masa kini. Ramai juga yang semakin putus asa menanti Anwar Ibrahim. Rakyat justeru itu cukup teruja apabila wujud nama baru seperti Anis Syafiqah Md Yusof. Namun, ramai anak muda yang jadi terkenal dengan cepat kadangkala dengan mudahnya diresap ke dalam struktur parti tradisi dan mereka kemudian dilihat sebagai satu lagi oportunis politik. Ini adalah satu trend yang yang dipanggil sindrom nak jadi YB. Ini terus mengecewakan ramai orang yang mahu melihat satu gerakan politik baru yang segar dan tidak tercemar dengan politik lama.

Politik baru adalah politik penentangan. Ia wujud dalam pelbagai wajah dan sebagai gerakan baru. Ia menjadi anti-tesis kepada politik lama. Politik baru menentang politik rasuah. Politik baru menentang sistem perkauman. Politik baru menentang sistem feudal. Politik baru yang akan membebaskan majoriti rakyat daripda sistem kapitalis yang mengancam rakyat majoriti semakin hari semakin mendapat sokongan ramai. Politik baru mesti berjuang demi membebaskan kaum rakyat yang terbanyak, bukannya untuk mengekalkan kekayaan segelintir.

PERBEZAAN PAS DAN AMANAH

*Soalan:*
*Apa perbezaan dasar antara parti Amanah dan PAS, sedangkan keduanya mengaku parti Islam?*

*Jawapan:*

Antara perbezaan utama parti Amanah dan PAS ialah parti Amanah mengambil siyasah sebagai perkara MUAMALAH, manakala PAS mengambil siyasah sebagai perkara AQIDAH.

Perbezaan ini menyebabkan pemahaman, budaya politik dan pendekatan yang berbeza. Aktivis PAS mengambil nas-nas yang menjelaskan tentang perkara aqidah dan mengaplikasikannya dalam tindakan siyasah mereka. Padahal, para aktivis Amanah memahami nas tersebut hanya terpakai dalam perkara aqidah dan ibadah khusus sahaja serta tidak relevan dengan tindakan politik mereka. Sesuai dengan prinsip *"Asal perkara muamalah itu harus, melainkan ada nas khusus yang menghalangnya"*.

*Contoh:*
Aktivis PAS berhujjah bahawa hukum asal tahaluf siyasi dengan golongan non-muslim adalah haram berdasarkan nas yang mengharamkan orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir sebagai "wali" serta nas "bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami". Bagi mereka pengharusan tahaluf hanya bersifat sementara dan dalam keadaan tertentu dan dengan syarat-syarat tertentu. Dalam kata lain, tahaluf siyasi ini adalah pada asasnya bertentangan dengan syariat.

Parti Amanah pula berpandangan hukum asal tahaluf siyasi dengan non-muslim adalah harus dan ianya hanya tertakluk dengan pertimbangan maslahah vs mudharat dan bukannya halangan yang berbentuk syariat. Adapun nas-nas yang digunakan untuk menghalang tahaluf itu hanya relevan dalam perkara aqidah dan ibadah khusus. Tahaluf siyasi tidak termasuk perkara aqidah mahupun ibadah khusus.

*Kupasan oleh: Sdr Jamzuri Ardani*,
*Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor.*

KEMELUT DALAMAN PKR, CHEGU BARD DEDAHKAN PENJELASAN RAFIZI.

Kemelut yang melanda PKR kini seolah tidak berkesudahan. Terlalu complicated untuk dihuraikan. Apa yang diketahui umum adalah terdapat dua pecahan dalam PKR. Satu kumpulan adalah pro Anwar. Manakalah satu lagi ialah pro Azmin Ali. Pro Azmin Ali inilah yang dikatakan sebagai kartel Azmin.

Isu yang melanda ini memberi kesan buruk kepada PKR. Ia menjejaskan fokus politik dan ini sudah tentu menguntungkan BN. Krisis sesebuah parti sudah tentu melemahkan parti dan ia membuatkan rakyat akan membuat penilaian yang negatif.

PKR seharusnya membetulkan keadaan partinya dengan segera. Sekurang-kurangnya sesuatu yang dilakukan perlu disegerakan agar masalah ini tidak berpanjangan sehingga PRU akan datang.

DI MANA LAJIM KETIKA INI?

Sama ada saya yang kurang mengikuti perkembangan pengerusi PKR itu atau memang beliau ketika ini dalam keadaan kesempitan dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan selaku pembangkang nombor satu Sabah.

Lajim ketika ini meskipun masih bergerak aktif dengan siri ceramah dan jelajahnya meninjau rakyat, namun 'wow factor' Lajim Ukin seolah hilang dan tidak bermaya.

Media sering memfokuskan kejutan-kejutan baru yang dilakukan Shafie Apdal yang kini masih tidak jelas arah tujunya dalam politik Sabah.

Pakatan Harapan Sabah yang diwar-warkan akan dilancarkan selepas Hari Raya Aidilfitri juga tidak kedengaran. Datuk Lajim seharusnya mengambil semula perhatian media dan kembali mencerdaskan politik Sabah.

Setakat ini DAP dan Amanah Sabah tidak ada masalah dengan Lajim memandangkan beliau telah lama diberi mandat oleh Anwar untuk memimpin pembangkang Sabah sejak era Pakatan Rakyat dahulu.

HUSAM DEDAH NASARUDIN ISA PERNAH RUNDING DENGAN UMNO

Cerita PAS bergabung dengan UMNO bukanlah perkara baru. Dan ia tidak mustahil untuk dijayakan memandangkan kedua dua parti tersebut merupakan parti terbesar Melayu dalam negara. Malah keduanya pernah bersekududukan pada era 70-an dahulu sewaktu Dato Asri Muda sebagai presiden PAS.

Husam baru-baru ini telah menyatakan dengan jelas dan dimulai dengan kalimah 'wallahi' sebanyak tiga (3) kali mengatakan bahawa dalam satu mesyuarat AJK PAS pusat dulu, Nasarudin Isa mengakui pernah berunding dengan Pak Lah (Abdullah Badawi) berkenaan penggabungan PAS dan UMNO. Menurutnga Pak Lah menawarkan 3 jawatan menteri dan 3 timbalan menteri sekiranya PAS bersetuju bersama UMNO.

Dalam mesyuarat tersebut Husam bertanya kepada Nasarudin Isa berkenaan siapa yang memberi mandatnya untuk.membuat rundingan dengan Pak Lah. Namun pertanyaan tersebut dipotonh oleh Tuan Guru Haji Hadi lalu menamatkan mesyuarat serta merta.

Kisah Unity Government (UG) antara PAS dan UMNO sehingga kini masih dinafikan oleh pemimpin PAS. Namun kebenaran kisah ini ramai yang mengetahuinya. Hanya masa sahaja yang menentukan di mana arah PAS yang sebenar meskipun ia menubuhkan blok ketiga dalam politik tanah air.

SIAPAKAH ZAHID HAMIDI PADA 02 SEPT 1998?

Sejarah adalah catitan yang tidak pernah menipu kita. Hanya kita yang perlu menggarapnya untuk jadikan satu analisis agar dapat mencapai puncak kebenaran.

Kisah 02 Sept 1998 masih diingati oleh ribuan rakyat. Namun kisah ini lebih penting kerana bertitik tolak di sinilah kita dapat mengetahui watak satu per satu pengikut Anwar Ibrahim ketika itu. Siapakah Zahid Hamidi? http://myeidos.com/kisah-anwar-ibrahim-pada-02-sept/

TULISAN SEORANG PEGUAM MENGENAI PENDATANG ASING DI SABAH

Tulisan saya agak panjang kali ini, tetapi ia sekadar senario ringkas untuk memberi kefahaman asas tentang konflik Orang Tanpa Negara di negeri Sabah. Mohon dikongsi agar lebih ramai memahami isu ini.

Orang Tanpa Negara (OTN). Isu ini sering disalah faham dengan Pendatang Tanpa Izin (PTI), imigran ataupun pelarian. Hakikatnya ia adalah perkara yang jauh berbeza. Menurut Konvensyen Tahun 1954 Berkenaan Orang Tanpa Negara, UNHCR mendefinasikan stateless sebagai“who is not considered as a national by any State under the operation of its law” . Secara mudahnya ia bermaksud kewujudan mereka tidak diiktiraf dan tidak mempunyai sebarang hak dari segi undang-undang, termasuk hak memiliki identiti ataupun nama, harta milikan, pendidikan, akses kepada perkhidmatan kesihatan dan apa jua hak .  PTI, imigran mahupun pelarian mempunyai negara asal, yang membezakan mereka dengan OTN yang tidak mempunyai negara.

Selain Artikel 1954, terdapat satu lagi konvensyen yang berkaitan dengan orang Tanpa Negara iaitu Konvensyen 1961 Berkenaan Pengurangan Ketanpanegaraan. Seperti konvensyen antarabangsa lainya, ia tidak mempunyai kuasa mengikat negara yang tidak merektifikasikan konvensyen tersebut . Setakat hari ini 80 negara telah menandatangani konvensyen 1954 dan 67 negara bagi Konvensyen 1964, Malaysia tidak menandatangani kedua-duanya.

Untuk memahami isu Orang Tanpa Negara di Sabah, kita perlu untuk memahami sejarah, peta geografi dan sosiobudaya. Sebelum kewujudan negara-negara pada hari ini, wilayah-wilayah ini berada di bawah kesultanan Sulu dan Brunei, terdapat juga wilayah yang tidak jelas sempadan penguasaanya terutama di Pantai Timur Sabah. Suku kaum di wilayah ini juga terdiri dari suku bangsa yang sama, sehingga hari ini sukar untuk membezakan warganegara berdasarkan suku kaum mereka dan tulisan kali ini akan memfokus kepada permasalahan OTN di kalangan kaum Suluk dan Bajau yang mendiami wilayah-wilayah di Pantai Timur Sabah dan Selatan Filipina.

Sempadan laut yang luas yang merentangi sempadan Malaysia dan Filipina memudahkan akses ulang-alik dari wilayah-wilayah  di kedua-dua buah negara dan sehingga hari kerajaan Malaysia dan Filipina masih gagal menangani kemasukan tanpa izin kedua-dua negara melalui jalan laut. Buktinya sehingga hari ini penangkapan terhadap cubaan untuk memasuki kedua-dua buah negara hampir tidak berlaku.

Pada tahun 1970-an berlakunya perang di Selatan Filipina yang merupakan lanjutan dari perlawanan menentang kerajaan pusat di Manila. Selepas Persepakatan Tripoli 1976, berlaku peperangan bersenjata di antara pejuang Moro dan kerajaan pimpinan Ferdinand Marcos yang mengkhianati persekepatan tersebut. Perang yang merebak menyebabkan ramai rakyat dari Selatan Filipina melarikan diri dari daerah masing-masing. Walaupun Malaysia tidak pernah merektifikasikan Konvensyen Pelarian 1951, atas syor PBB, 4 penempatan khas pelarian perang dari Selatan Filipina didirikan di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Pelarian ini kemudiannya diberikan dokumen khas yang dikenali sebagai IMM13.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Negara Malaysia, setakat tahun 2010 terdapat hampir 900, 000 bukan warganegara di Sabah. Laporan Suruhanjaya Diraja berkenaan Pendatang (RCI) pula melaporkan jumlah pendatang tanpa izin di Sabah mencecah 500,000 ribu orang. Anggaran tepat jumlah OTN lebih sukar dibuat kerana tiada indikator yang boleh digunapakai untuk menentukan bilangan mereka. Jika kita membuat anggaran bahawa 70% dari PTI di Sabah adalah OTN, bilangan mereka mencecah 350, 000 orang, hampir 2 kali ganda populasi rakyat negeri Perlis.

Masalah OTN ini bermula apabila pemegang IMM13 dan PTI mula menetap, berkeluarga dan kemudiannya melahirkan anak di negara ini. Malaysia tidak mempunyai undang-undang yang memberikan kerakyatan secara automatik berdasarkan kelahiran. Anak-anak yang lahir dari pemegang IMM13 tidak boleh mewarisi status ibu bapa mereka sebagai pelarian yang diiktiraf. PTI juga tidak mempunyai niat untuk kembali ke negara asal mereka, dan anak-anak mereka mewarisi status PTI mereka, namun permasalahan mereka lebih serius kerana mereka tidak didaftarkan di negara asal ibu bapa mereka dan juga di negara mereka dilahirkan menyebabkan status kerakyatan mereka tidak jelas.

Pemegang IMM13 dan PTI yang sudah puluhan tahun menetap di negara ini sukar untuk membuktikan mereka adalah penduduk asal Filipina, bayangkan bagaimana pula mahu membuktikan anak-anak dari generasi pertama dan kedua berasal dari negara tersebut, jikapun mereka mempunyai dokumen untuk membuktikan status mereka, kerajaan Filipina sudah tentunya keberatan untuk mengakui hubungan mereka dengan generasi yang lahir di luar negara mereka.

Seperti definasi yang dinyatakan di dalam Konvensyen 1954, OTP tidak mempunyai sebarang identiti yang boleh disandarkan. Perkahwinan yang berlaku sesama mereka, ataupun dengan mereka yang mempunyai dokumen tidak boleh didaftarkan di pejabat agama, dengan kata lain perkahwinan ini tidak dianggap wujud dari segi undang-undang syariah di negeri ini. Kesahan perkahwinan ataupun penceraian sekiranya berlaku, tidak dapat dibawa ke mahkamah syariah. Keadaan ini menyebabkan sekiranya berlaku tuntutan seperti fasakh, hadhanah atau nafkah OTP tidak dapat membawa kes mereka ke hadapan hakim. Status penceraian juga tidak dapat ditentusahkan, akhirnya berlaku masalah seperti  perkahwinan bertindan.

 Anak yang lahir dari perkahwinan tersebut, tidak boleh didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Kanak-kanak ini dari segi undang-undang, bukan sahaja tidak memiliki negara, tetapi juga tidak mempunyai ibu bapa!. Nama rasmi juga tidak dimiliki.

Kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen tidak akan menerima rawatan di hospital mahupun klinik kerajaan mahupun swasta sejak dari bayi. Mereka tidak menerima vaksinisasi, rawatan susulan atau sebarang rawatan untuk kawalan penyakit berjangkit. Tanpa kawalan kesihatan ia merupakan ancaman yang serius di masa hadapan.

Kos rawatan yang tinggi bagi bukan warganegara menyebabkan ramai di kalangan OTN tidak mendapatkan rawatan bagi penyakit kronik. Sukar untuk mengawal penyebaran.penyakit berjangkit di kalangan OTN disebabkan masalah ini. Sekiranya berlaku kematian, ia tidak dapat direkodkan disebabkan si mati tidak mempunyai sebarang pengenalan.

Kanak-kanak OTN kemudiannya membesar dan pada satu tahap, hak untuk mendapatkan pendidikan asas juga dinafikan, bagi yang berkemampuan, sekolah swasta menjadi pilihan, tetapi jumlah mereka tidak ramai.

Kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumentasi dan pendidikan mempunyai pilihan yang terhad untuk mendapatkan pekerjaan. Dengan status tanpa dokumentasi mereka terpaksa bekerja seawal usia 10 tahun dan terdedah kepada buruh kanak-kanak dan ‘perhambaan moden’. Mereka terpaksa bekerja dengan gaji yang rendah, tanpa caruman KWSP dan SOCSO, kerja melebihi 10 jam sehari, pemberhentian tanpa notis dan juga gangguan seksual dari majikan dan sesama pekerja. Pekerja dari kalangan OTN ini terpaksa bekerja dalam kondisi yang menyedihkan. Ramai yang bekerja di kedai-kedai makanan yang menyediakan makanan tidak halal dan minuman keras, kilang baja kimia tanpa pakaian pelindung dan juga kawasan pembinaan yang tidak mempunyai mekanisme keselamatan. Terdapat juga kanak-kanak yang digunakan oleh sindiket menjual keputusan wang ekor haram, rokok seludup dan menjadi peminta sedekah.

Melapor kepada pihak berkuasa bukan pilihan, kerana kewujudan mereka tidak diiktiraf dan bekerja tanpa dokumen merupakan kesalahan di sisi undang-undang. Menambahkan derita yang tak sudah, ramai dari kalangan mereka terpaksa berhadapan dengan anggota penguatkuasa yang tidak amanah. Pendapatan yang tidak seberapa terpaksa digunakan agar tidak ditahan.

Bagi yang tidak bekerja, ramai terpaksa berkahwin awal. Adalah perkara biasa perkahwinan di awal umur belasan tahun dan menjadi ibu atau bapa pada umur yang terlalu muda. Mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan berkenaan kaedah pencegahan kehamilan, banyak keluarga OTN yang mempunyai anak yang ramai. Keadaan ini akan terus berulang menambah bilangan kanak-kanak OTN

Penceraian di kalangan keluarga OTN  juga sering berlaku disebabkan oleh umur yang terlalu muda dan juga ilmu kekeluargaan yang dangkal. Anak-anak dari perkahwinan akhirnya menjadi mangsa, ramai yang membesar tanpa ibu bapa, diserahkan kepada keluarga terdekat , kenalan mahupun jiran untuk dijaga. Kanak-kanak ini akhirnya menjadi gelandangan yang terdedah kepada perlecehan seksual, perjudian, ketagihan syabu serta arak, gengsterisme dan senarai permasalahan yang tidak berhujung.

Tanpa dokumen OTN tidak layak untuk membeli hartanah dan pilihan yang ada ialah mendirikan rumah di kawasan setinggan. Tanpa sistem sanitasi, pencemaran disebabkan pembuangan sampah, bekalan air bersih, penyambungan elektrik secara haram adalah rangkaian masalah yang timbul.

Tidak dapat dinafikan bahawa kehadiran OTN juga memberikan ancaman kepada keselamatan negara. Tanpa pemantauan terhadap bilangan mereka dengan tepat, ditambah kesukaran untuk mengawal pergerakan mereka yang terlalu ramai, kehadiran OTN bukan satu masalah yang boleh dipandang ringan.

OTN yang ditahan oleh pihak berkuasa tidak boleh dideportasi disebabkan tiada negara yang mengiktiraf mereka. Jutaan wang pembayar cukai terpaksa dibelanjakan setiap bulan untuk menampung kos tahanan OTN sahaja.

Perlu diakui bahawa sehingga hari ini tiada mekanisme yang benar-benar mampu menangani masalah ini. Sebagaimana status mereka, tiada jabatan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus soal OTP ini
yang menyukarkan cadangan dan perlaksanaan dasar.

Terdapat cadangan untuk menerima OTN menjadi warga melalui kaedah naturalisasi, dengan mengiktiraf status mereka yang lahir di negara ini. Kewarganegaraan melalui permohonan juga merupakan salah satu kaedah yang dicadangkan.

Walaubagaimanapun ia hadir bersama ancaman dan rasa tidak puas hati khususnya dari kalangan pribumi. Sekiranya kehadiran mereka diiktiraf dan diberikan status PR atau Penduduk Tetap, generasi mereka akhirnya akan menjadi warganegara. Jumlah yang ramai ini sudah pastinya akan mengubah peta sosial negeri Sabah khususnya. Keadaan ini menimbulkan keresahan terhadap status quo pribumi dan menjadikan mereka minoriti di negeri sendiri.

Hampir kesemua OTN mengaku beragama Islam. Walaubagaimanapun pengamalan beragama di kalangan mereka amatlah menyedihkan. Tanpa pendidikan agama mereka hidup jauh dari identiti seorang Muslim. Judi, arak, zina, amalan khurafat menjadi sebahagian dari rutin. Amat malang lagi walaupun layak sebagai asnaf mereka tidak menerima bantuan zakat disebabkan status bukan warga. Jabatan agama juga seolah tidak berminat untuk campur tangan dalam soal ini.

Di dalam Konvensyen 1954 dinyatakan bahawa OTP hendaklah diberikan layanan sebagaimana status pendatang asing yang mempunyai negara. Beberapa artikel di dalam konvensyen.berkenaan mewajibkan agar OTP diberikan hak untuk pendidikan, kesihatan dan kebebasan bergerak. Soalnya sekira hak-hak ini diberikan apakah ia adil kepada warganegara yang membayar cukai yang sudah pastinya wang yang diperuntukkan untuk tujuan-tujuan tersebut terpaksa dikongsi bersama OTP.

Salah satu agenda yang perlu diberikan perhatian ialah memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak stateless. Pendidikan bukanlah kaedah yang tuntas dalam menyelesaikan permasalah ketanpanegaraan, tetapi ia mampu meminimakan impak sosial di masa hadapan.

Melalui pendidikan kanak-kanak stateless akan diberikan pendidikan asas membaca, mengira dan menulis yang merupakan survival kit untuk mereka. Pendidikan juga dapat menyalurkan pengetahuan mengenai undang-undang negara dan etika sebagai warga. Sekurang-kurangnya mereka akan mengetahui dan menghormati undang-undang negara.

Semua pihak harus memahami permasalahan ini, ia bukan sahaja ancaman dan masalah negeri Sabah, tetapi akan menjadi bencana kepada negara jika tidak ditangani sebaiknya. Permasalahan ini umpama ‘time bomb’ yang maha dasyat. Bayangkan jumlah ratusan ribu ini yang hidup tanpa negara, berhadapan dengan diskriminasi setiap hari, tanpa pendidikan dan agama, kemiskinan dan kemelaratan yang membelenggu, ia hanya memerlukan sedikit percikan untuk menghasilkan letupan.

Persoalannya siapa dan apa yang perlu ke depan untuk menyelesaikan konflik ini? Sehingga soalan itu terjawab, bilangan OTN akan terus bertambah dan bertambah dan 'bom' akan terus berdetik.

Haris Alimudin
Komrad Sukarelawan Muslim Sandakan (KOMNIS)

SIAPAKAH PENGIKUT SHAFIE APDAL YANG DIPUJUK MUSA AMAN?

Shafie Apdal sebelum ini digantung keahlian UMNO oleh pemimpinya telah secara sukarela meletakkan jawatan dan keluar parti.

Kini beliau merancang untuk menubuhkan sebuah parti baharu tempatan Sabah. Ramai pengikutnya dalam UMNO turut sama mengikut rentak beliau dengan mengisytiharkan keluar parti beramai ramai. Bermula di Semporna, Batu Sapi, Kota Belud, Menumbok dan Kota Marudu.

Walaubagaimanapun, UMNO Sabah tidak berdiam meskipun Rahman Dahlan mengatakan tindakan Syafie tidak memberi kesan. Di mas yang sama, perjumpaan demi perjumpaan di peringkat cawangan dan bahagian UMNO sedang rancak dilakukan.

Tidak cukup sekadar mengukuhkan kesetiaan ahli, kini UMNO Sabah turut memujuk semula bekas ahli UMNO yang bersama Syafie.

Kelihatan Musa Aman sedang berbual dengan salah seorang pengikut kuat Shafie Apdal kawasan Semporna.

KELANTAN BERTUKAR OREN

Setelah Husam Musa menjadi ahli rasmi Parti Amanah dua hari lepas, hari ini 17 cawangan di DUN Limbongan kawasan Salor, Pasir Putih, Kelantan ditubuhkan serentak.

Pengerusi Amanah Kelantan dalam satu ucapanya mengatakan bahawa dengan tertubuhnya jumlah cawangan sebanyak itu maka kini Amanah DUN tersebut layak untuk bertanding pada pilihanraya akan datang.

Parti yang digelar nyamuk itu kini seakan vidus zika yang menakutkan PAS Kelantan. Sebelum ini kepimpinan PAS memandang rendah kewujudan parti Islam kedua dan ia sudah tentu memberi impak yang besar kepada Kelantan.