KENAPA ANAK MUDA MAKIN BOSAN DENGAN POLITIK? OLEH ARUL PSM

Antara parti perkauman dan realpolitik:
Kenapa anak muda semakin bosan untuk menyertai parti politik?

oleh Arutchelvan PSM

Pada 9 Ogos yang lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menyerahkan borang permohonan pendaftaran parti baru dan mengumumkan nama parti baru adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang terbuka kepada “semua warganegara”. Muhyiddin, mantan Timbalan Presiden UMNO yang telah disingkirkan mengumumkan bahawa "keahlian BERSATU adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berstatus pribumi Melayu termasuk Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak, seperti yang ditakrifkan di dalam perlembagaan Malaysia, perlembagaan negeri dan undang-undang negara”.

Namun, diketahui umum bahawa orang yang menarik tali di belakang Muhyiddin adalah Mahathir Mohamad. Muhyiddin tidak mempunyai sejarah berjuang menentang status quo. Beliau naik dalam politik kerana peranannya bermain politik selamat dan “yes man”. Beliau tidak mempunyai keberanian seperti Anwar Ibrahim yang mencetuskan gerakan Reformasi mahupun mempunyai karisma seperti Musa Hitam yang dilihat sebagai seorang Timbalan Presiden UMNO yang berwibawa. Malah beliau juga tidak mempunyai sejarah melawan kepimpinan seperti Timbalan Presiden UMNO sekarang, iaitu Zahid Hamidi.

Walaupun Mahathir tidak memegang jawatan utama, tetapi diketahui umum bahawa beliaulah ikon parti ini. Mahathir yang mempunyai sejarah melawan Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn semasa mereka menjadi Presiden, dan kemudiannya melawan Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim  kerana cubaan mereka mengulingkan beliau, lepas itu menyambung perlawanan menentang Abdullah Badawi dan kini pula mensasarkan Perdana Menteri Najib Razak. Jika diperhatikan betul-betul, politik Malaysia akan menjadi bosan dan lesu jika tidak ada Mahathir. Mahathir menjadi watak utama untuk 6 dekad dari 1960-an sehingga hari ini.

Tujuan utama parti Mahathir ini adalah untuk menentang Presiden UMNO sekarang Najib Razak. Tanpa menyembunyikan niatnya, Parti Bersatu mengumumkan tujuan mereka adalah untuk menewaskan UMNO dalam pilihanraya umum yang akan datang dan parti ini juga akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan serta PAS untuk menewaskan dan menjatuhkan UMNO-BN dalam pilihanraya yang akan datang.

Penubuhan parti baru ini seperti keseinambungan daripada Gerakan Selamatkan Malaysia yang menggunakan pentas Deklarasi Rakyat dan bekerjasama dengan parti pembangkang serta beberapa pertubuhan masyarakat sivil. Namun, inisiatif untuk mendapat jutaan tandatangan dan menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agung ini seperti tidak membuahkan hasil.

Walau bagaimanapun, pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang membongkarkan kepincangan 1MDB dan peranan yang dimainkan oleh orang-orang yang rapat dengan Najib, termasuk anak tirinya, memberi nafas baru kepada perjuangan Mahathir dan penentang Najib. Najib dan puak-puak yang rapat dengannya secara cepat cuba memberikan gambaran bahawa ini adalah konspirasi antarabangsa dan terdapatnya campurtangan luar untuk menjatuhkan kerajaan demokratik yang dipimpin oleh Najib Razak. Malah, ada pemimpim UMNO yang menyifatkan ini sebagai satu cubaan Amerika Syarikat untuk menggulingkan Kerajaan Islam selepas Saddam Hussein dijatuhkan dengan cara yang sama di Iraq.  

Penubuhan parti baru ini mendapat dua jenis reaksi awal. Satu adalah pandangan yang mengutuk parti ini sebagai parti perkauman. Muhyiddin Yassin menyangkal pandangan sebegini dengan menerangkan konsep parti ini. Beliau berkata, “keahlian BERSATU adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia berstatus pribumi Melayu termasuk Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang ditakrifkan di dalam perlembagaan Malaysia, perlembagaan negeri dan undang-undang negara. Selain itu, keahlian parti terbuka kepada warganegara Malaysia yang lain sebagai ahli bersekutu. Mereka mempunyai hak yang sama dengan ahli biasa kecuali mengundi atau bertanding mana-mana jawatan dalam parti.”

Ini telah mendapat kecaman kerana ia kembali kepada politik Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Ia juga memberi gambaran bahawa orang Bukan Bumiputera boleh sertai tetapi tidak boleh memimpin atau memegang jawatan. Ini satu penghinaan kepada konsep Malaysia dan perpaduan kaum yang cuba dipupuk selama ini.

Namun, terdapat satu lagi kumpulan yang berkata bahawa, secara “realpolitik” tindakan Mahathir adalah betul dan tepat sekali kerana tujuan parti ini hanyalah untuk menewaskan UMNO dan mengurangkan sokongan UMNO, malah cara terbaik adalah menwujudkan satu parti Melayu untuk memecahkan undi Melayu dan sekaligus menewaskan UMNO-BN.

Penghujah “realpolitik” (politik benar) tidak berlandaskan kepada prinsip atau dasar perjuangan yang betul. Bagi mereka, politik adalah seni merampas kuasa dengan apa jua cara pun. Mahathir pernah digelar Machiavelli dan beliau akan membuat apa sahaja untuk mencapai agenda politiknya.

Namun, ada satu lagi golongan besar yang semakin hari semakin bosan dengan parti-parti politik ini. Sindrom semakin bosan dan tidak percaya kepada parti politik berlaku di seluruh dunia. Ramai rakyat terutamanya golongan anak muda semakin tidak percaya pada parti politik masa kini. Mereka melihat parti politik semuanya kaki penipu dan hanya untuk rampas kuasa demi kepentingan sendiri.

Bagi golongan ini, realpolitik adalah apabila politik itu dapat membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dan penindasan. Terbukti politik yang dibawa oleh Parti Bersatu dan juga parti pembangkang hari ini lebih menjurus kepada agenda sempit untuk merampas kuasa supaya mereka boleh mendapat akses kepada khazanah negara dan sebagainya.

Justeru, parti-parti berhaluan kiri di dunia dan juga ahli politik yang sebelum ini tidak mendapat banyak sokongan kini menjadi wira kepada anak-anak muda. Jeremy Corbny di Britain dan Bernie Sanders daripada Parti Demokrat di Amerika Syarikat mendapat sokongan ramai anak muda dan rakyat biasa. Pandangan-pandangan mereka yang menentang sistem kapitalis neo-liberal yang sebelum ini kurang mendapat sokongan kini mendapat sokongan ramai kerana dalam jangkamasa panjang, rakyat dapat menilai apakah itu realpolitik. Mereka tahu apa yang dilafazkan oleh pemimpim-pemimpin berhaluan kiri adalah konsisten dan benar.

Di Malaysia, rakyat sudah bosan dengan parti Barisan Nasional dan juga semakin hari semakin bosan dengan parti Pakatan Harapan. Walaupun ramai yang ketagihan untuk pembangkang menang sekali dalam pilihanraya Parlimen, tetapi tingkahlaku pembangkang yang sering bergaduh, bermain politik sempit dan perkauman turut menyebabkan sebahagian rakyat menjadi bosan dan mencari alternatif baru.

Parti baru Mahathir sebenarnya adalah parti politik lama. Mahathir yang berusia 92 tahun terus menjadi watak yang paling aktif pada masa kini. Ramai juga yang semakin putus asa menanti Anwar Ibrahim. Rakyat justeru itu cukup teruja apabila wujud nama baru seperti Anis Syafiqah Md Yusof. Namun, ramai anak muda yang jadi terkenal dengan cepat kadangkala dengan mudahnya diresap ke dalam struktur parti tradisi dan mereka kemudian dilihat sebagai satu lagi oportunis politik. Ini adalah satu trend yang yang dipanggil sindrom nak jadi YB. Ini terus mengecewakan ramai orang yang mahu melihat satu gerakan politik baru yang segar dan tidak tercemar dengan politik lama.

Politik baru adalah politik penentangan. Ia wujud dalam pelbagai wajah dan sebagai gerakan baru. Ia menjadi anti-tesis kepada politik lama. Politik baru menentang politik rasuah. Politik baru menentang sistem perkauman. Politik baru menentang sistem feudal. Politik baru yang akan membebaskan majoriti rakyat daripda sistem kapitalis yang mengancam rakyat majoriti semakin hari semakin mendapat sokongan ramai. Politik baru mesti berjuang demi membebaskan kaum rakyat yang terbanyak, bukannya untuk mengekalkan kekayaan segelintir.

No comments:

Post a Comment