UCAPAN KEMERDEKAAN RAKYAT KEPADA PENZALIM

Aku individu biasa sahaja. Sekadar seorang hamba yang kerdil di sisi insan lain. Yang megah di atas singgah sana. Merangkul jawatan kerna diangkat jutaan rakyat.

Aku si marhaen tidak punya apa-apa, melainkan sekelumit harta defisit yang mengikatku dari kebebasan. Merdeka yang dilaung entah dihayati entah tidak.

Aku rakyat yang mengenali pemerintah, namun dia tidak mengenaliku. Kerna aku hanya si pengundi dan dia adalah Menteri ku.

Di sini aku ingin berkata buatmu Menteri, aku ini rakyat di bawah tanggungjawabmu. Aku yang akan menuruti kerajaanmu, mengikuti polisi pentadbiranmu, Setia taat perlembagaan dengan penuh tulus.

Sekiranya engkau dan delegasimu, jelas menindas ku dan kaumku para ploretariat bangsa, maka tidak aku sanggup termenung diam membisu melihat legasi ku suram masa depan.

Akan ku bangkit, menghasut dan melawan atas nama kesetiaan kedaulatan pada perlembagaan rakyat yang tidak pernah menjadi milikmu, sekalipun engkau mengerah seluruh tentera upahanmu atas alasan apa pun, aku...terus melangkah, kerna jiwa telah ku serahkan pada Tuhan yang memerdekakan aku dari kezaliman manusia.

No comments:

Post a Comment